(…sambung)
Aktiviti perkhemahan PBSM 2023 ini diteruskan lagi dengan pelbagai aktiviti lasak untuk membina ketahanan diri, ketangkasan, ketajaman fikiran, mengatur strategi, menghadapi cabaran, menyelesaikan masalah dan membina semangat berpasukan. Para peserta dikehendaki bangun seawal 6 pagi untuk persiapan diri. Selepas itu, mereka perlu mempelajari kawad kaki sebagai senaman pagi serta meningkatkan pengetahuan dan disiplin diri dalam kawad kaki sebelum bersarapan.
Kemudian, rutin mereka diteruskan dengan aktiviti orienteering untuk menajamkan fikiran tentang penggunaan kompas dan mencari petunjuk yang diberikan. Aktiviti ini memerlukan ketajaman fikiran dan kerja sepasukan bagi memastikan setiap permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan secara bersama. Setiap pasukan dikehendaki melengkapkan pencarian petunjuk yang diberikan selewat-lewatnya dalam masa 3 jam setengah. Kumpulan yang terawal dan mencari semua petunjuk dengan tepat adalah kumpulan yang telah menguasai kemahiran yang dipelajari.
Aktiviti pencegah kebakaran yang dijalankan bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam ini juga mendedahkan murid tentang kebakaran dan cara mengatasinya. Antara topik yang dimasukkan ke dalam aktiviti ini ialah pengenalan kepada api dan kebakaran, alat pengesan asap, pelan tindakan kebakaran dan tatacara pengungsian bangunan (rumah dan sekolah), tips keselamatan semasa kebakaran, langkah-langkah mencegah kebakaran, alat pemadam api dan menghubungi talian kecemasan. Mereka yang telah berjaya mengikuti aktiviti ini akan dianugerahkan dengan lencana kecekapan pencegah kebakaran.
Pada sebelah malamnya pula, para peserta perlu membuat persembahan kebudayaan untuk malam kebudayaan. Peserta perlu menyediakan kostum yang bersesuaian dengan persembahan mereka. Aktiviti ini dapat memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan peserta di samping mewujudkan semangat muhibbah sebagai rakyat Malaysia. Sebagai penutup, sambutan hari lahir untuk semua peserta yang menyambut hari lahir pada bulan Disember sebagai penghargaan kepada peserta perkhemahan.
(Disediakan oleh Cikgu Hazliana binti Mohamad Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Informasi dan Publisiti)